
EMPAT minggu lalu, penulis bersama beberapa wartawan pemotoran dibawa oleh bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton Berhad memandu uji kereta terbaru dalam keluarga Proton ini.
Beberapa syarat dikenakan iaitu gambarnya tidak boleh disiarkan penuh dan butiran terperinci termasuk nama tidak boleh disiarkan ketika itu. Dari Pusat Kecemerlangan (COE) Proton di Shah Alam, sesi pandu uji melalui lebuh raya NKVE, masuk ke lebuh raya DUKE sebelum melepasi plaza tol Gombak menuju ke Bentong dan Janda Baik yang dikenali dengan jalannya yang bersimpang-siur dan seterusnya mendaki Genting Highland.
Keseluruhan jalan yang dilalui mencukupi untuk 'membantai' kereta baru ini. Selekoh tajam, jalan sempit, mendaki dan menurun bukit. Mungkin ada yang akan bertanya, kenapa perlu uji pandu sedemikian terhadap Proton Inspira yang dilancar secara rasmi pada 10 Oktober lalu? Bukankah kereta ini sebagai kenderaan yang ditukar lencana dari Mitsubishi Lancer maka mutu sistem gantungan dan pengendaliannya sudah diuji oleh Mitsubishi?
Mitsubishi Motors Co. (MMC) di Jepun melarang perubahan dilakukan ke atas enjin dan sistem gantungan. Namun jurutera Proton berjaya menyakinkan mereka bahawa perubahan yang dilakukan bukan untuk merosakkan Lancer, sebaliknya meningkatkan pengalaman pemanduan. Proton mengadakan beberapa sesi demonstrasi khusus untuk jurutera MMC yang secara ringkasnya dirumuskan 'menyesuaikan sistem gantungan dengan permukaan jalan di Malaysia yang memiliki ciri-ciri tersendiri seperti jalan beralun, bertampal-tampal dan tidak licin'.
Hakikatnya jurutera MMC Jepun memberi kelulusan kepada perubahan (setelah berkeras sekian lama) sistem gantungan, memberi gambaran betapa mutu jurutera Proton telah sampai ke tahap yang membanggakan.
Tiada yang memeranjatkan kerana jurutera Proton sememangnya dihantar berkursus dengan anak syarikat milik kereta nasional tersebut iaitu Lotus Engineering di United Kingdom. Input tersebut diserapkan ke dalam Inspira. Inilah yang dinamakan pengalaman 'menaiki dan kendalian Lotus' yang terdapat pada kereta Proton.
Suntikan DNA Lotus ke dalam Inspira, memberi rasa yang berbeza dengan Lancer. Tatkala Lancer dibina sebagai sebuah kereta sport, Inspira jelas terasa tahap keselesaannya.
Penulis duduk di belakang semasa Inspira dipacu oleh bekas pemandu rali yang kini penulis automotif, Y.S Khong memecut pada tahap kelajuan yang tinggi. Bersama seorang lagi penulis automotif veteran, Chips Yap, kami bersependapat atur susun sistem gantungan pada Inspira adalah 'hebat'. DNA Lotus memastikan kenderaan terus boleh dikawal dengan baik dan kesan terbabas dibendung secukupnya. Ia memberi keyakinan kepada penulis bagi giliran seterusnya.
Prestasi bagi enjin 2 liter Inspira tidak jauh sangat daripada Lancer. Bagi varian 1.8 liter (yang tidak dijual oleh Mitsubishi di Malaysia), ia menggunakan enjin diperbuat daripada aluminium keseluruhannya iaitu Global Engine Manufacturing Alliance yang dibangunkan bersama antara MMC dengan Chrysler dan Hyundai.
Kuasa maksimumnya ialah sekitar 143 ps/177 Nm manakala varian 2 liter Lancer yang dijual di Malaysia menjana 155 ps/199 Nm.
Dengan transmisi manual, Inspira benar-benar seronok dipandu, terutama di jalan bengkang-bengkok. Jangkauan gear adalah baik dan kotak gearnya beroperasi lancar. Prestasi baiknya dipamerkan semasa mendaki Genting Highland.
Jika ada yang masih sinikal mengenai Proton Inspira yang dicemuh kerana 'menceduk' dari Mitsubishi Lancer, penulis akan katakan: 'mengapa tidak?''. Jika anda boleh menerima Perodua Myvi, anda harus bersedia menerima Proton Inspira. Mudah saja.
Proton melahirkan Inspira dengan lesen kebenaran MMC. Teknologi dan prestasi Lancer sudah diperakui. Dan paling penting, harganya kini ditawarkan pada harga yang sangat hebat. Malah ia bakal menggegarkan dua segmen sekali gus iaitu segmen enjin 1.8 liter dan 2 liter.
Oleh JOHARDY IBRAHIMfacebook/johardy.ibrahim
farid paduka ali:Kagum dengan model terbaru Proton ini...walau ramai mencemuh,saya tetap bangga dengan model-model keluaran Proton.
Comments