Oleh:
Wartawan Sinar Harian
Tarikh: September 12, 2012
KUANTAN – Ibu bapa mana yang tidak pilu dan mengalirkan air mata
apabila setiap hari terpaksa melihat anak kecil mereka terpaksa
menanggung derita akibat penyakit kronik.Tarikh: September 12, 2012
Begitu jua situasi yang dihadapi pasangan Mohd Faiz Amat Seroh dan Marliana Mahmud dari Felda Lepar Hilir 2, apabila bayi mereka, Muhamad Airiel Fauzan berusia enam bulan menderita penyakit tulang dada mengecut sejak dilahirkan.
Menurut Mohd Faiz, bayinya itu banyak bergantung kepada bantuan oksigen setiap dua kali sehari sebagai penyambung nyawa permata hatinya itu.
“Sejak lahir anak saya disahkan mengalami masalah tulang dada mengecut menyebabkan dia perlu diberi bantuan oksigen dua kali dalam sehari. Jika diberi peluang, biarlah saya sahaja yang tanggung sakit dia ini. Dia terlalu kecil untuk dugaan yang besar ini,” katanya.
Kata, akibat masalah itu, tumbesaran anak keduanya terbantut dengan berat bandannya kini hanya 4.3 kilogram.
Selain itu, Mohd Faiz menjelaskan keadaan tulang dada anaknya yang mengecil itu menyebabkan paru-parunya tidak mampu mengepam lebih banyak oksigen menyebabkan dia perlukan bantuan oksigen bagi keperluan badannya.
Menurutnya, dua kali seminggu anaknya perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital untuk melihat perkembangan paru-parunya.
“Saya kini terpaksa berhenti kerja semata-mata mahu berulang alik menghantar anak saya ke hospital. Dahulu saya bekerja di Shah Alam, tetapi dengan keadaan anak yang sakit saya terpaksa berpindah ke kampung untuk memudahkan menghantar dia ke hospital.
“Tambahan pula, dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi di bandar, membuatkan saya tidak mampu untuk berulang alik ke kampung menghantar anak saya ini,” katanya.
Di samping itu juga, untuk makan ubat dan minum susu, satu saluran khas dimasukkan melalui hidung untuk memudahkan makan sampai ke perut.
“Jika bagi minum melalui mulut, nafas anak saya akan tersekat-sekat ,mungkin sukar untuk melepasi dadanya yang kecil itu. Doktor juga sukar untuk memberi jaminan sampai bila keadaan anak saya ini akan terus begini," katanya.
Sementara itu, Muhamad Airiel yang belum mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memerlukan bantuan orang ramai. Bagi yang sudi membantu boleh memberikan sumbangan mereka melalui akaun
Bank Simpanan Nasional (BSN) 06100-41-96765795-4 atas nama Mohd Faiz Amat Seroh.
SUMBER
Comments